Profil

Foto saya
D20102041409 Guru Pend.Khas Masalah Pembelajaran

Rabu, 30 November 2011

Konsep Pendidikan Khas

Hallahan dan Kauffman, (1977) menyatakan Pendidikan Khas bermakna pengajaran
yang direka khas untuk memenuhi keperluan-keperluan yang luar biasa seseorang
kanak-kanak yang luar biasa. Bahan-bahan khas, teknik-teknik pengajaran, atau
peralatan dan / atau kemudahan-kemudahan diperlukan. Culatta dan Tompkins (1999)
menyatakan Pendidikan Khas ialah pengajaran yang bercorak individu direka untuk
memenuhi keperluan-keperluan pendidikan dan berkaitan dengan murid-murid kurang
upaya. Pendidikan Khas menyediakan peluang-peluang pembelajaran yang tidak
disediakan dalam kurikulum yang baku atau biasa atau perkhidmatan-perkhidmatan
sekolah biasa.
Kedua-dua definisi di atas menegaskan ciri-ciri pendidikan khas, iaitu:
a. Rancangan pengajaran yang direka khas
b. Rancangan pengajaran yang bersifat individu
c. Bahan-bahan khas
d. Teknik pengajaran khas
e. Kemudahan / peralatan khas

Kirk et al (1993) menjelaskan difinisi kanak-kanak berkeperluan khas sebagai kanakkanak yang berbeza dari kanak-kanak sederhana atau biasa dalam ciri- ciri mental keupayaan-keupayaan deria dalam ciri-ciri saraf dan otot atau fizikal dalam tingkahlaku sosial atau emosi dalam keupayaan Komunikasi atau dalam pelbagai kekurangan sehinggakan ia memerlukan amalan-amalan sekolah yang diubahsuai, atau perkhidmatan- perkhidmatan pendidikan khas, supaya ia boleh berkembang sehingga kemampuan yang maksimum.Kanak-kanak berkeperluan khas juga dikenali sebagai kanak-kanak istimewa kerana keadaan mereka adalah berbeza disebabkan oleh faktor-faktor fizikal, otak dan emosi mereka yang tidak sama dengan kanak-kanak biasa. Justeru pertumbuhan dan perkembangan diri mereka- fizikal, otak emosi dan sosial-tidak menyamai kanak-kanak biasa. Lazimnya keupayaan maksimum mereka dalam semua bidang jauh berkurangan daripada kanak-kanak biasa. Di samping itu tingkahlaku mereka juga adalah tersendiri
dan berbeza mengikut jenis kecacatan atau masalah yang dialami. Contohnya tingkahlaku kanak-kanak autisme tidak sama dengan kanak-kanak Down Sindrom. Kanak-kanak autisme berada dalam dunianya sendiri dan tidak pedulikan orang, sementara kanak-kanak Down Sindrom sukakan orang. Pada amnya kecacatan atau masalah yang dialami oleh kanak-kanak berkeperluan khas boleh dikategorikan seperti berikut:
a. masalah pendengaran
b. masalah penglihatan
c. masalah pembelajaran
d. masalah tingkahlaku
e. masalah pertuturan
f. spastik (cerebral palsy)
g. terencat akal
h. cacat anggota

Definisi Pendidikan Khas di Malaysia

PENDIDIKAN KHAS
Pendidikan Khas ialah program yang dirancang khusus untuk memenuhi pelbagai keperluan murid khas, termasuk penggunaan bahan khas, peralatan khas, teknik p & p mengikut tahap kebolehan & keupayaan pelajar:-
  • Perkembangan mental
  • Kestabilan emosi
  • Integrasi sosial
KANAK-KANAK KHAS
Merupakan kanak-kanak yang telah dikenal pasti dan disahkan oleh pakar professional klinikal sebagai mengalami masalah yang mengganggu proses pembelajaran.
“……… Kanak-kanak yang berbeza dari kanak-kanak sederhana atau biasa (1) dalam ciri-ciri mental (2) keupayaan-keupayaan deria (3) dalam ciri-ciri saraf dan otot atau fizikal (4) dalam tingkahlaku sosial atau emosi (5) dalam keupayaan komunikasi atau (6) dalam pelbagai kekurangan sehinggakan ia memerlukan amalan-amalan sekolah yang diubahsuai, atau perkhidmatan-perkhidmatan pendidikan khas , supaya ia boleh berkembang sehingga kemampuan yang maksimum ”.
Kirk, S.A. et.al. “Educating Exceptional Children”, 1993
Apa Dia kanak-kanak Khas ?
………… “Kanak-kanak yang dari segi intelek, fizikal, sosial dan emosi tidak mencapai pertumbuhan-pertumbuhan biasa hingga mereka tidak dapat faedah sepenuhnya dari rancangan sekolah biasa “.
Chua Tee Tee, 1981
Apa Dia Pendidikan Khas ?
……… Pengajaran yang bercorak individu direka untuk memenuhi keperluan-keperluan pendidikan yang berkaitan dengan murid-murid kurang upaya. Pendidikan Khas yang menyediakan peluang-peluang pembelajaran yang tidak disediakan dalam kurikulum yang baku atau biasa atau perkhidmatan-perkhidmatan sekolah biasa “.
PROGRAM PENDIDIKAN KHAS
Program pendidikan khas di Malaysia dilaksanakan melalui:-
  • Sekolah Khas
  • Progam pendidikan Khas Integrasi (pengasingan/inklusif)
  • Pemulihan Khas
  • Program Disleksia
  • Pendidikan Vokasional sekolah khas/integrasi(teknik/Vokasional)
KATEGORI PENDIDIKAN KHAS
Kanak-kanak yang berada dalam program Pendidikan khas adalah mereka yang menghadapi masalah untuk belajar di dalam aliran biasa. Terdapat tiga aliran :
  • Masalah Pembelajaran
  • Masalah Pendengaran
  • Masalah Penglihatan

Selasa, 29 November 2011

Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Sebagai seorang guru, seharusnya kita memahami dan menghayati Falsafah Pendidikan Negara.

Sabtu, 24 September 2011

Aku dan murid khas


Adakah anak khas ini dijadikan bebanan? Adakah ia menyusahkan ? Adakah perasaan malu dan segan itu wujud dalam hati ibu bapa yang mempunyai anak cacat? Adakah kita menyalahkan takdir ? Adakah kita berasa geli dengan anak khas ini? Mengapa murid khas sering dipinggirkan? Mengapa murid khas sering ditertawakan ? Mengapa kebanyakkan orang sering meragui dan memperlekehkan  kemampuan murid khas?
Adakah ia jijik dan hina pada pandangan masyarakat? Menitiskah airmata seorang ibu atau ayah apabila pertama kali melihat bayinya tidak sempurna ? Bersediakah seorang ibubapa itu hidup dengan tomahan dan sindiran rakan atau keluarga kerana memiliki anak yang cacat ?

10 tahun aku didalam dunia anak khas ini banyak pengalaman yang telah ku timba . Ia mengajar dan menyedarkan aku tentang erti sebuah kehidupan... Sepanjang bergelar seorang guru pendidikan khas, suka dan duka alam pendidikan khas menjadi asam garam perjalanan kerjayaku. Aku sedar merekalah punca rezeki ku  untuk menyara keluargaku .Perasaan jijik dan geli pada anak khas ini telah ku buang jauh dari hidupku. Hari-hariku bersama dengan murid khas ku rasakan amat gembira dan ceria . Namun terdetik di hatiku perasaan sedih dan kecewa apabila aku terdengar segelintir masyarakat yang sering memperlekehkan murid khas ini. Dimana sifat keperikemanusiaan mereka? Dimana sikap keprihatinan dan kasih sayang mereka? Dimana naluri keibubapaan mereka?
Patut kah murid khas ini diherdik dan dicerca oleh guru sekiranya mereka gagal menguasai atau mengikuti P&P ? Patutkah keupayaan  mereka ini dipersendakan?
Sebagai seorang guru pendidikan khas, sepatutnya kita mengenali dan memahami masalah murid khas itu dahulu sebelum memulakan P&P. Kebanyakkan murid khas mengalami masalah mental menyebabkan mereka kurang daya tumpuan, lemah dalam ingatan dan tidak aktif dalam pembelajaran mereka. Murid khas tiada keyakinan didalam pembelajaran dan mereka ini cepat bosan dengan cara pengajaran sehala.
sebagai seorang guru pendidikan khas, aku rasakan tugas ku sebagai pendidik itu lebih utama dari pengajar. Bagi ku mendidik mereka ke arah kesediaan untuk belajar dan cara menjalani kehidupan itu lebih penting dari aku mengajar mata palajaran semata-mata .
Aku lebih mengamalkan konsep "kawan " atau "hormat" kepada murid khas kerana aku tahu murid khas biasanya mengalami gangguan dalam komunikasi dan sentiasa berasa rendah diri. Mereka seringkali ku ajak berbual, berjenaka dan bergurau. Tujuan ku adalah memupuk sikap sosialisasi dan membina kemahiran komunikasi dengan baik. Namun, adakala kita perlu tegas pada kelakuan mereka yang tidak betul. Penggunaan pelbagai emosi juga sering aku lakukan kepada murid khas kerana sebenarnya, mereka ini sensitif dan peka pada perasaan orang lain.
Sedarkah kita bahawa Allah tidak pernah menzalimi hambanya bahkan dialah maha pemurah lagi maha pengasihani. Sesungguhnya apa yang dijadikan dan diberikan ada hikmahnya. Kita yang bergelumang dengan  alam pendidikan khas ini amat beruntung dan bertuah kerana kitalah diantara yang dipilih oleh tuhan dan dibukakan ruang secukupnya untuk mengumpul pahala dengan mudah. Murid khas adalah ahli syurga dan kita bertugas sebagai pendidik ahli syurga didunia. Nampak macam pelik tapi itulah hakikatnya.. Mudah-mudahan mereka mendoakan aku menjadi ahli syurga .. Insya-Allah